Mesyuarat Sarawak Heritage Council 2023 telah diadakan di Hotel Riverside Majestic pada 30 November 2023 yang dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, YB Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah bagi membincangkan inisiatif-inisiatif pengurusan warisan.
Selesai mesyuarat, satu sidang media diadakan bagi menyalurkan maklumat mengenai beberapa perkembangan terkini dalam Jabatan Muzium Sarawak. Dalam sidang media tersebut, YB Dato Sri Haji Abdul Karim mengumumkan bahawa Borneo Cultures Museum akan memulakan jualan tiket secara atas talian bermula 1 Disember 2023. Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa pihak Jabatan Muzium Sarawak telah menerima dermaan sebanyak 41 barang-barang lama yang berharga. Beliau turut memaklumkan mengenai penemuan relau peleburan besi purba di Sungai Jaong yang wujud antara abad ke-10 dan ke-13, berdasarkan analisis pentarikhan radiokarbon. Akhir sekali, beliau turut memperkenalkan naskhah terkini Sarawak Museum Journal Vol. 107 yang boleh didapati daripada Jabatan Muzium Sarawak.
Turut hadir bersama, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, YB Datuk Sebastian Ting Chiew Yew , dan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Puan Nancy Hj Jolhi.