​​​​​​​Ketibaan pelawat ke Sarawak meningkat 6.53 peratus pada Ogos

Posted on 23 Sep 2026
Source of News: www.utusan.borneo.com.my
​​​​​​​Ketibaan pelawat ke Sarawak meningkat 6.53 peratus pada Ogos

September 21, 2026, Isnin - 8:52am



Abdul Karim bersama lain menghadiri Malam Apresiasi Jabatan Muzium Sarawak di Kuching. - Gambar UKAS
 

KUCHING: Ketibaan pelawat ke Sarawak meningkat 6.53 peratus kepada 439,968 orang pada Ogos 2026 berbanding 413,018 orang dalam tempoh sama tahun lalu, menunjukkan pemulihan selepas penurunan yang direkodkan pada Julai.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peningkatan itu turut didorong oleh pelbagai program yang dianjurkan sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya, jumlah ketibaan pelawat asing turut menunjukkan peningkatan kepada 275,800 orang pada Ogos tahun ini berbanding 244,903 orang pada bulan sama 2025.

“Untuk bulan Ogos 2026, jumlahnya adalah 439,968. Kalau dibandingkan masa yang sama untuk bulan Ogos 2025, 413,018 orang. Jadi, ada peningkatan 6.53 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Malam Apresiasi Jabatan Muzium Sarawak di sini, malam Ahad.

Abdul Karim dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkata, peningkatan ketibaan pelawat turut memberi kesan kepada resit pelancongan Sarawak yang mencatatkan kira-kira RM1.14 bilion pada Ogos 2026 berbanding RM1.06 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

“Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, Sarawak merekodkan 3,160,448 ketibaan pelawat berbanding 3,205,519 orang dalam tempoh sama 2025, iaitu penurunan kecil sekitar 1.41 peratus,” ujarnya.

Meskipun demikian, beliau masih menjangkakan jumlah ketibaan pelawat akan meningkat menjelang akhir tahun berikutan pelbagai program dan aktiviti yang dijadualkan berlangsung, khususnya mulai pertengahan tahun hingga penghujung tahun.

“Saya tidak khuatir kerana selalunya selepas tengah bulan sehingga ke hujung tahun, program memang banyak. Saya jangka ada peningkatan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan sasaran untuk mencapai lima juta pelawat tahun ini mungkin sukar dicapai, dengan jangkaan jumlah keseluruhan kekal pada paras lebih empat juta.

Perkara ini katanya, susulan keadaan penerbangan serta perkembangan semasa di Timur Tengah turut menjadi antara faktor yang boleh mempengaruhi momentum ketibaan pelawat ke Sarawak.

Katanya, keadaan tersebut berpotensi menyebabkan gangguan penerbangan atau pelancong mengubah perancangan perjalanan mereka.

“Melihat apa yang berlaku di Timur Tengah dan sebagainya, saya rasa ada sedikit masalah terhadap penerbangan. Saya tidak terlalu optimistik,” katanya.

Mengulas mengenai keadaan jerebu yang melanda Sarawak ketika ini, Abdul Karim berkata situasi tersebut sememangnya berpotensi memberi kesan terhadap sektor pelancongan, khususnya sekiranya keadaan berlarutan.


 


Copyright © 2021 Sarawak Museum Department
Last Updated On 15 Oct 2026

Operating Hours (Main Office)

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45pm & 2.00pm to 5.00pm

Saturday, Sunday, Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement