Dua muzium baharu Sarawak tarik lebih 53,000 pengunjung
Posted on 12 Jun 2026
Source of News: www.tvsarawak.my

KUCHING, 11 Jun: Dua muzium baharu di Sarawak berjaya menarik lebih 53,000 pengunjung sejak dibuka kepada orang ramai mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap produk pelancongan dan warisan negeri.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Muzium Warisan Industri Limbungan Brooke yang dirasmikan pada 20 April lalu merekodkan 37,126 pengunjung setakat 31 Mei 2026.
“Dalam tempoh kira-kira sebulan 10 hari sahaja, Muzium Perindustrian Brooke Dockyard telah merekodkan 37,126 pengunjung yang merupakan satu pencapaian yang sangat baik,” katanya.
“Ia mencerminkan apa yang telah kami bawa ke tempat itu. Selalu ada yang berkata jika muzium seperti itu dibuat maka tiada siapa yang akan datang namun kita dapat melihat bahawa terdapat ramai yang berminat untuk melihat apa yang ada di sana,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Warisan Sarawak Bilangan 1/2026 di sini, hari ini.
Ujarnya Taman Arkeologi dan Pusat Hidupan Liar Santubong yang dibuka pada Oktober tahun lalu turut mencatat prestasi memberangsangkan dengan merekodkan 16,758 pengunjung sehingga 31 Mei lalu.
Menurutnya, kebanyakan pelancong yang berkunjung ke kawasan Santubong dan Damai turut singgah ke taman arkeologi berkenaan bagi melihat sendiri khazanah sejarah serta penemuan arkeologi yang terdapat di kawasan tersebut.
“Kita melihat semakin ramai masyarakat menghargai sejarah dan warisan negeri, sekali gus menunjukkan usaha memperkukuh landskap muzium Sarawak berada di landasan yang betul,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa sehingga kini, Jabatan Muzium Sarawak telah berjaya mendaftarkan 88 objek sumbangan pada tahun 2025 dan telah menerima 39 objek sumbangan pada tahun ini.
Abdul Karim berkata Mesyuarat Majlis Warisan Sarawak turut bersetuju mencadangkan pewartaan lima tapak dan struktur bersejarah iaitu Kuarters Jururawat Lama Kuching, Bangunan Jepun di Kuching, Rumah Api Tanjung Lobang di Miri, Empangan Salome di Miri, tapak depo penyelenggaraan landasan kereta api lama Sarawak di Kuching serta Kubu Ranee di Saratok. – TVS