KUCHING, 21 April: Sarawak terus menunjukkan komitmen dalam memelihara dan memperkasa sejarah serta warisan negeri melalui pembukaan Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum di Kuching.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek transformasi Brooke Dockyard itu bukan sekadar memperkenalkan warisan maritim Sarawak, tetapi juga memberi impak besar terhadap ekonomi negeri dan meningkatkan tarikan pelancongan global.
“Projek transformasi Brooke Dockyard kepada Industrial Heritage Museum ini merupakan sebuah inisiatif berimpak tinggi yang dilaksanakan secara berfasa dari tahun 2020 hingga 2025 dan melibatkan kos berjumlah sekitar RM46.7 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum, yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, malam tadi.
Menurut Abdul Karim, muzium tersebut akan menjadi tarikan utama bukan sahaja untuk penduduk Sarawak tetapi juga pelancong antarabangsa.
“Melalui transformasi ini, Brooke Dockyard yang merupakan limbungan kapal tertua di Malaysia dan sangat ikonik kini berwajah baharu. Ia beralih daripada sebuah tapak perindustrian kepada sebuah arkib hidup yang mempamerkan kesan Revolusi Perindustrian di Sarawak untuk tatapan generasi kini dan masa hadapan,” ujarnya.
Selain itu, katanya, muzium itu juga akan memperkukuhkan lagi sektor pelancongan negeri yang kini berusaha untuk meningkatkan bilangan pelancong daripada 4.6 juta kepada 12.7 juta menjelang tahun 2035.
Dengan sejarah Brooke Dockyard yang berusia lebih seratus tahun, beliau percaya bahawa muzium tersebut akan terus menjadi simbol kekuatan ekonomi negeri dan pemangkin kepada kemajuan dalam sektor pelancongan serta pendidikan.
“Saya yakin kehadiran muzium ini, bersama muzium-muzium lain akan menambah nilai kepada pemuliharaan warisan, menggalakkan pelancongan negeri dan memartabatkan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) untuk mempersiapkan kita menghadapi cabaran masa depan,” jelasnya.
Pada masa sama, Abdul Karim turut memberi penghargaan kepada Jabatan Muzium Sarawak serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berimpak tinggi ini. – TVS