KUCHING, 21 April: Kerajaan Sarawak mengumumkan rancangan membina waterfront sepanjang 4.8 kilometer (km) yang akan menghubungkan Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum dengan Jambatan Satok sebagai mercu tanda warisan dan pembangunan moden Kuching.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek berkonsep seni bina bertingkat itu akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan peruntukan berjumlah RM560 juta bagi menjamin kesejahteraan penduduk dan tarikan pelancong.
“Fasa pertama projek akan bermula tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM160 juta, manakala fasa kedua akan melibatkan peruntukan RM400 juta.
“Waterfront ini akan mempunyai reka bentuk seni bina khas yang tinggi dan unik, berbeza daripada projek lain, serta tidak mengganggu kediaman penduduk.
“Ia juga akan menjadi daya tarikan pelancong, membolehkan pengunjung berjalan sehingga ke pasar sayuran di Satok, sekali gus menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum di sini, malam tadi.
Selain menjadi laluan rekreasi, Abang Johari menegaskan projek tersebut akan memperlihatkan kesinambungan sejarah kejuruteraan lama dan baharu sebagai sebahagian daripada pembangunan bandar Kuching.
“Dengan projek ini, kita akan teruskan tradisi, namun turut melihat masa depan yang lebih maju dengan pembangunan yang berterusan,” ujarnya.
Sehubungan itu, kata Abang Johari, sektor pelancongan dan warisan memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan ekonomi negeri.
“Pelancongan dan warisan adalah dua sektor utama yang menyokong ekonomi kita dan projek ini adalah langkah penting untuk memajukan kedua-duanya,” jelasnya. – TVS