KUCHING, 21 Apr: Penubuhan Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum menjadi simbol legasi kejuruteraan dan budaya negeri yang perlu dipertahankan sebagai identiti rakyat Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Brooke Dockyard bukan sekadar limbungan membaiki kapal, tetapi lambang kemajuan teknologi dan kebijaksanaan anak tempatan dalam bidang kejuruteraan sejak zaman pemerintahan Rajah Brooke.
“Inilah satu legasi yang harus kita pertahankan dan pamerkan dalam budaya serta jati diri kita,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum di sini, malam tadi.
Menurut Abang Johari, muzium itu juga akan menjadi tarikan pelancongan baharu yang menghubungkan sejarah pembangunan industri maritim Sarawak dengan kisah kemajuan moden negeri.
“Lokasi ini memang strategik. Inilah idea untuk menghidupkannya sebagai satu kawasan ikonik, yang menggambarkan sedikit sebanyak sejarah Sarawak mengenai kepentingan ketersambungan dengan menggunakan kapal,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut memuji usaha Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dalam meneruskan tradisi sejarah Brooke Dockyard ini sebagai aset warisan berharga negeri. – TVS