News

 

Rumah Sri Aman Terus Dipelihara Sebagai Produk Pelancongan

Posted on 03 Oct 2023
Source of News: https://ukas.sarawak.gov.my/

AHAD, 1 OKTOBER 2023

SRI AMAN: Rumah Sri Aman yang pernah menjadi saksi kepada Perjanjian Damai 1973 atau Deklarasi Sri Aman di antara Kerajaan Sarawak dan Parti Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) akan terus dipelihara untuk tatapan generasi akan datang.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, rumah yang menyimpan pelbagai detik bersejarah Sarawak itu telah diwartakan di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019 pada 21 Mac 2021 sebagai rumah bersejarah untuk dijadikan produk pelancongan di Sri Aman.

Katanya, rumah dibina pada tahun 1927 di bawah pemerintahan Charles Vyner Brooke itu merupakan simbol keamanan dan perpaduan antara masyarakat Sarawak yang berbilang kaum, agama dan politik.

“Disebabkan oleh keunikan senibina dan nilai sejarah yang terpahat di bangunan ini, maka ia membawa kepad pewartawaan Rumah Sri Aman sebagai rumah bersejarah di bawah Sarawak Heritage Ordinance 2019 pada 21 Mac 2021.

“Rumah ini tidak boleh disentuh, di bawah Heritage Ordinance. Maknanya, tidak boleh diubah, ia mesti original dan ia tetap berada di sana, tidak boleh diroboh, di bawah undang-undang kita iaitu Sarawak Heritage Ordinance.

“Ini disebabkan kita hendak memelihara rumah ini sebagai satu bangunan bersejarah yang boleh dinikmati, diwarisi oleh generasi yang muda, anak-anak Sarawak supaya mereka tahu apa sebab rumah ini di sana, apa seni binanya, siapa yang membinanya dan setersnya fungsi rumah tersebut,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Galeri Rumah Sri Aman pada Ahad.

Bagi mengangkatkan lagi nilai rumah bersejarah tersebut, Premier Sarawak berkata kerajaan negeri telah membina Taman Aman (Peace Park) di belakang rumah tersebut yang merupakan kawasan hijau dijadikan sebagai pusat riadah dan lawatan pengunjung.

Selain itu katanya, jalan dari rumah tersebut menuju ke Tebingan Sungai Sri Aman dan Sri Aman Town Square juga dinaik taraf menjadi dua hala bagi memberi keselesaan warga tempatan dan orang luar untuk berkunjung ke rumah tersebut.

Menyambung ucapannya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari mahu keamanan yang dinikmati Sarawak hari ini terus kekal dan dipertahankan bagi membolehkan negeri ini terus profresif dan mencapai visi menjadi negeri maju menjelang tahun 2030.

Majlis Perasmian Galeri Sri Aman pada hari ini amat signifikan kerana ia sempena dengan 50 tahun Perjanjian Damai 1973 di mana rumah tersebut dijadikan tempat menandatangani perjanjian damai tersebut.

Pameran di Galeri Rumah Sri Aman terdiri daripada empat tema iaitu Rumah Atas Bukit, Era Rajah Putih, Pertempuran dan Perdamaian dan Air Pasang di mana ia akan mula dibuka kepada orang ramai pada 2 Oktober 2023.

Turut hadir isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Datuk Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Ahli Parlimen Sri Aman Dato’ Sri Doris Brodie serta Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi. – EDISI UKAS



Copyright © 2021 Sarawak Museum Department
Last Updated On 04 Nov 2024

Operating Hours (Main Office)

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45pm & 2.00pm to 5.00pm

Saturday, Sunday, Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement