SIBU: Jabatan Muzium Sarawak mengambil tindakan susulan berkenaan isu yang tular di media sosial berhubung Batu Tanam Demong di Ulu Krian, Saratok, dengan mengadakan perjumpaan bersama komuniti setempat bagi memberi penjelasan lanjut.
Menurut kenyataan Seksyen Komunikasi Korporat jabatan itu hari ini, tindakan berkenaan diambil selepas laporan Utusan Borneo bertarikh 22 Februari 2026 menarik perhatian umum mengenai monumen bersejarah tersebut.
Jabatan berkenaan memaklumkan bahawa Batu Tanam Demong telah diwartakan pada 21 Mac 2022 di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019 sebagai tapak warisan yang dilindungi.
"Sehubungan itu, pihak kami telah berhubung dengan pemilik akaun media sosial terlibat bagi membuat penjelasan lanjut berkaitan isu yang dibangkitkan," menurut kenyataan tersebut.
Selain itu, satu sesi perjumpaan turut diadakan pada 26 Februari 2026 bersama tuai rumah serta komuniti di Ulu Krian, Saratok bagi merungkai kekeliruan dan memastikan maklumat yang tepat disampaikan kepada penduduk setempat.
Jabatan Muzium Sarawak menegaskan bahawa pihaknya menghargai keprihatinan orang awam terhadap usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan negeri.
Jabatan itu turut komited untuk memastikan setiap maklumat yang disampaikan adalah sahih dan tepat.
Tambah kenyataan itu lagi, langkah memperkukuh proses semakan serta penyelarasan fakta akan terus dipertingkatkan bagi mengelakkan perkara sama berulang pada masa hadapan.