Majlis Malam Apresiasi & Kasih Warisan 2025: Pengiktirafan Buat Warga Jabatan Muzium Sarawak

Posted on 28 Apr 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Jabatan Muzium Sarawak telah mengadakan Majlis Malam Apresiasi dan Kasih Warisan 2025 sebuah hotel terkemuka, di sini, sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen, dedikasi dan pencapaian para pegawai serta rakan kolaborasi sepanjang tahun 2024.

Majlis berprestij ini disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dalam ucapan alu-aluan, Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Nancy Jolhi, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaan jabatan, termasuk pegawai, kakitangan serta rakan kolaborasi daripada pelbagai agensi dan institusi.

“Komitmen dan kerjasama semua pihak amat kami hargai, dan ia telah menyumbang kepada kelancaran serta kecemerlangan pelbagai program yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu,” ujarnya.

Majlis turut menyaksikan tayangan video yang memaparkan sorotan aktiviti jabatan sepanjang tahun 2024, sebagai simbol refleksi perjalanan dan pencapaian mereka.

Dato Sri Abdul Karim dalam amanatnya menegaskan bahawa majlis seperti ini bukan sekadar acara penghargaan, tetapi sebagai satu bentuk motivasi untuk terus memperkukuh budaya kerja cemerlang dan semangat kerjasama antara agensi, institusi dan masyarakat.

Majlis turut meraikan pegawai yang bersara, yang berpindah jabatan, serta menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 kepada pegawai terpilih. Penyampaian cenderamata dan sijil telah disempurnakan oleh YB Menteri bersama Puan Nancy Hj Jolhi dan tetamu kehormat lain.

Antara yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan; Senator Dato’ Ahmad bin Dato’ Sri Ibrahim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Operasi), Datu Hii Chang Kee; dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) Datu Sherrina Hussaini. -EDISI UKAS


Copyright © 2021 Sarawak Museum Department
Last Updated On 09 Jun 2025

Operating Hours (Main Office)

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45pm & 2.00pm to 5.00pm

Saturday, Sunday, Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement