KUCHING, 23 Nov: Pameran Pristine Seas Bringing The Ocean Back telah berjaya menarik 12,578 pengunjung sejak dibuka pada 28 November lepas.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pameran ini bukan sahaja mempamerkan keindahan hidupan marin dan lautan, tetapi dapat meningkatkan kesedaran tentang maksud projek Pristine Seas sebenarnya.
Katanya, usaha ini sejajar dengan objektif Sarawak sendiri, seperti yang digariskan dalam PCDS 2030, yang menekankan pembangunan mampan, kerjasama dengan masyarakat tempatan, dan pemeliharaan ekosistem semula jadi untuk mencapai sasarannya untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.
“Saya menggalakkan semua orang berkongsi berita tentang pameran ini dan mengambil peluang untuk melawat dan merasai sendiri pameran Pristine Seas.
“Ini adalah peluang untuk mengetahui lebih lanjut tentang usaha pemuliharaan lautan dan mendapat inspirasi daripada kerja luar biasa yang dilakukan untuk memulihkan dan melindungi lautan kita.
“Pameran ini berfungsi sebagai peringatan untuk menghormati lautan kita, melindungi hidupan marin kita, dan mengambil kira bagaimana kita semua boleh terlibat dalam “Bringing The Ocean Back”,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pameran Pristine Seas Bringing The Ocean Back by National Geographic bertempat di Borneo Cultural Museum di sini, hari ini.
Tambah Karim, projek Pristine Seas bertujuan untuk memulihkan kesihatan dan produktiviti lautan sambil meningkatkan kehidupan masyarakat pantai dengan melindungi ekosistem marin daripada penangkapan ikan yang berlebihan.
Beliau yakin pameran hasil kerjasama antara Nasional Geographic dengan Jabatan Muzium Sarawak ini akan memberi inspirasi kepada rakyat dan kerajaan Sarawak untuk mempertahankan prinsip pembangunan inklusif dan mampan yang membawa kepada hasil yang berjaya seperti yang ditunjukkan oleh projek Pristine Seas, sekali gus mengorak langkah positif ke arah masa depan yang lebih baik dalam “Bringing The Ocean Back”.
Pameran Sementara Pristine Seas: Bringing The Ocean Back berlangsung bermula 28 Oktober 2024 hingga 13 April 2025. – TVS
By Madeline Dugat November 23, 2024