KUCHING, 23 Nov: Sektor pelancongan Sarawak dijangka terus berkembang susulan kejayaan penganjuran pelbagai program dan acara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkembangan positif itu sekali gus melepasi sasaran ditetapkan iaitu empat juta pelancong pada tahun ini.
Menurutnya, pengumuman RM100 bilion pelaburan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa pelancaran Laporan Tahunan Pembagunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) mampu membantu melonjakkan sektor pelancongan Sarawak.
“Sektor pelancongan kita semakin berkembang, apa yang kita sasar (pengunjung) untuk tahun 2022 dan 2023 tercapai.
“Kita letak satu lagi sasaran iaitu empat juta pengunjung pada 2024 dan kita berjaya melepasi sasaran tersebut seawal November,” katanya.
Beliau berkata demikian melancarkan Pameran Pristine Seas Bringing The Ocean Back by National Geographic, bertempat di Muzium Budaya Borneo, Kuching, di sini, hari ini.
Karim menjelaskan, rancangan pelaburan diumumkan Premier Sarawak bukan sahaja untuk sektor pelancongan tetapi membantu dalam aspek pembangunan terutama infrastruktur.-TVS