KUCHING, 7 Nov: Jabatan Muzium Sarawak terus memartabatkan warisan dan sejarah unik Borneo di peringkat antarabangsa.
Terbaru, Jabatan Muzium Sarawak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan sebuah institusi muzium yang diiktiraf di peringkat global, British Museum.
MoU tersebut ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Nancy Jolhi dan Pengarah British Museum, Dr Nicholas Cullinan.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew serta Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datu Sherrina Hussaini.
Menurut kenyataan Jabatan Muzium Sarawak pada Khamis, pendekatan tersebut menunjukkan komitmen berterusan Jabatan Muzium Sarawak dalam memartabatkan warisan dan sejarah Borneo terutama Sarawak di peringkat dunia.
Jelas kenyataan tersebut, kerjasama kedua-dua pihak diyakini membuka peluang untuk penyelidikan bersama, pameran dan pertukaran budaya antara Sarawak dan United Kingdom terutama dalam kajian artifak Borneo dan Sarawak yang disimpan di British Museum serta Muzium Sarawak.
“Perjanjian ini mengkukuhkan usaha Jabatan Muzium Sarawak untuk mencapai matlamat jangka panjang menjadi pusat sejarah dan warisan bertaraf antarabangsa menjelang 2030.
“British Museum sebagai rakan kongsi strategik akan menyokong Sarawak dalam memajukan bidang muzium dan museologi melalui projek yang bukan sahaja memanfaatkan dunia akademik tetapi memupuk pemahaman lebih mendalam mengenai kekayaan sejarah Borneo,” menurut kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan tersebut, MoU yang dimeterai menandakan titik permulaan kepada Sarawak untuk lebih menyerlah di peringkat global melalui promosi dan kelestarian khazanah sejarah dan budaya yang tidak ternilai. -TVS