Keputusan sama ada Taman Negara Niah diberi status Tapak Warisan Dunia UNESCO pada Julai

Posted on 09 May 2024
Source of News: https://www.utusanborneo.com.my/


Abdul Karim (tiga kanan), diiringi Ting (dari empat kanan) dan Sherrina, menyampaikan bendera Sarawak kepada ketua misi kontinjen Rhemy Romeo Jamal (dua kiri) selepas sidang media. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Keputusan sama ada Taman Negara Niah di Miri diberikan status sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO akan diketahui pada Julai, ujar Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, jawatankuasa eksekutif UNESCO akan bersidang di India pada Julai untuk membincangkan semua pencalonan.

Jelas beliau, kementeriannya telah menerima maklum balas positif semasa lawatan pemeriksa pertubuhan terbabit ke Taman Negara Niah mengenai kemungkinan tapak itu akan diberikan status Tapak Warisan Dunia UNESCO.

”Sebaik sahaja pengiktirafan sebagai tapak warisan dunia diberikan, ia akan dikenali seluruh pelosok dunia dan ini seterusnya akan meningkatkan pelancongan.

”Ada pelancong yang mengembara ke seluruh dunia semata-mata untuk melihat tapak warisan dunia ini,” katanya pada sidang media yang diadakan di bilik media Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

Sekiranya status tapak warisan dunia itu akhirnya diberikan kepada Taman Negara Niah, Abdul Karim berkata Sarawak akan menjadi satu-satunya tempat di negara ini yang mempunyai dua tapak warisan dunia.

Taman Negara Mulu di Miri adalah satu-satunya tapak warisan dunia UNESCO di Sarawak selepas diiktiraf pada tahun 2000.

Mengulas mengenai Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-21 akan datang, Abdul Karim berkata kerja-kerja menaik taraf semua tempat sukan akan siap menjelang Julai.

Jelasnya, pelan luar jangka telah disediakan sekiranya pembinaan pusat latihan wushu dan padang kriket baharu di Petra Jaya tidak dapat disiapkan tepat pada masanya.

Selepas sidang media, Abdul Karim menyampaikan bendera Sarawak kepada kontinjen Jabatan Muzium Sarawak yang akan ke Pulau Pinang untuk mengambil bahagian dalam perayaan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan dari 12 hingga 22 Mei ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Datuk Sebastian Ting dan setiausaha tetap kementerian itu Datu Sherrina Hussaini.

oleh Hafizah Abdul Hamid

2024-05-08T15:44:12+08:00


Copyright © 2021 Sarawak Museum Department
Last Updated On 20 Dec 2024

Operating Hours (Main Office)

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45pm & 2.00pm to 5.00pm

Saturday, Sunday, Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement