KUCHING: Jabatan Muzium Sarawak (JMS) akan mengetengahkan pameran berkonsepkan ‘Urang Sarawak: Come Learn With Us’ pada Hari Muzium Antarabangsa (HMA) Peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang pada tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata tema pameran kali ini yang membawa naratif mengenai pemahaman terhadap konsep konservasi beserta pameran koleksi etnologi, zoologi serta manuskrip borneo.
Selain itu katanya, ia termasuk gambar-gambar berkaitan arkeologi yang terdapat dalam simpanan JMS yang dipamerkan dalam reruai (booth) pameran yang berbentu rumah tradisional kaum Bidayuh iaitu ‘Baruk’.
“Penyertaan pada tahun ini dianggarkan merangkumi 28 buah institusi permuziuman dari dalam dan luar Malaysia yang melibatkan lebih 1,000 warga muzium.
“Pada tahun ini, JMS Sarawak akan menghantar kontinjen dengan kekuatan seramai 35 orang secara keseluruhannya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di Bilik Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Rabu.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chew Yew, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datu Sherina Hussaini dan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Nancy Jolhi.
Tambah Dato Sri Abdul Karim, tema sambutan HMA pada tahun ini iaitu ‘Museum, Education and Research’ adalah berdasarkan matlamat Pendidikan Berkualiti, Industri Inovasi dan Infrastruktur daripada 17 sasaran yang terdapat dalam Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDGs).
Majlis tersebut akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada 18 Mei nanti di Dewan Sri Penang.-EDISI UKAS