News

 

Muzium Budaya Borneo diyakini mampu tarik sejuta pengunjung dalam tempoh terdekat

Posted on 26 Feb 2024
Source of News: https://www.tvsarawak.my


Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah merakamkan gambar kenangan bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 Jabatan Muzium Sarawak di salah sebuah hotel di Kuching malam tadi. Foto TVS

 

Muzium Budaya Borneo diyakini mampu tarik sejuta pengunjung dalam tempoh terdekat

ByTVS

February 24, 2024
KUCHING, 24 Feb: Muzium Budaya Borneo (BCM) Kuching mencipta rekod apabila berjaya menarik seramai 920,869 pengunjung sejak dibuka pada 9 Mac 2022, jumlah itu diyakini melonjak kepada sejuta dalam tempoh terdekat.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pada tahun lepas, Jabatan Muzium Sarawak (JMS) berjaya mencatat kunjungan seramai 11,430 pelajar termasuk daripada institusi pengajian luar seperti National Yang Ming Chiao Tung University (Taiwan), Universitas Muhammadiyah Pontianak (Indonesia), dan Crest Secondary School (Singapura).

“JMS juga tidak ketinggalan menjalankan pelbagai aktiviti menarik seperti perbincangan ilmiah, treasure hunts, scavengers hunts, kuiz dan sebagainya bersama pelajar-pelajar yang melawat BCM.

“Aktiviti-aktiviti ini telah memanfaatkan seramai 1782 pelajar dari 17 buah sekolah, lapan universiti dan lima agensi sepanjang tahun 2023 yang lepas,” katanya ketika brucap di Majlis Makan Malam Apresiasi 2024, JMS di salah sebuah hotel di sini, malam tadi.

Malahan, BCM juga berjaya menarik kunjungan pengunjung-pengunjung berprofil tinggi seperti Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak, Keluarga Di-Raja Negeri Sembilan Pemangku Raja Pahang, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dan rombongan kedutaan pelbagai negara termasuk Turkey, Thailand, China dan Brazil.

Tambah beliau, JMS juga terus aktif dalam usaha-usaha pengurusan khazanah melalui aktiviti-aktiviti pemeliharaan, pemuliharaan, dan penyelidikan.

“Pelbagai kerja pemeliharaan telah berjaya dijalankan di 13 lokasi yang terdiri daripada monumen dan tapak bersejarah di seluruh Sarawak. Antaranya adalah Klirieng di Batang Tatau (Bintulu), Tiang Bendera Liu Shan Bang (Bau), Kubu Charles (Kabong), Kubu long Akah, Kubu Lio Matu dan lain-lain,” katanya.

Pada majlis itu seramai 29 orang kakitangan Jabatan Muzium Sarawak telah menerima anugerah dan penghargaan terdiri daripada 21 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 3 orang kakitangan yang bakal dan sudah bersara dan 5 orang kakitangan yang telah berpindah jabatan. -TVS



Polls
Announcement