Geotrail bakal dibangun di Santubong, Padawan, Bau dan Bako

Posted on 29 Nov 2023
Source of News: https://suarasarawak.my
Bilik Berita 3

28 November 2023


KUCHING: Jejak Geo (Geotrail) akan dibangunkan di tapak Taman Delta Geo Sarawak (SDGp) di Santubong, Padawan, Bau dan Bako untuk menyokong pendidikan, pemuliharaan dan pembangunan komuniti.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, ini sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk mendaftarkan SDGp sebagai Taman Geo Global Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Ketika ini terdapat 67 Kawasan Terlindung Sepenuhnya, meliputi 47 Taman Negara, 15 Rizab Alam Semula Jadi dan lima Pusat Perlindungan Hidupan Liar.

“Daripada kesemua kawasan terlindung sepenuhnya tersebut, hanya 25 kawasan yang dibuka kepada pengunjung,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Ia adalah Taman Negara Bako, Kuching, Taman Negara Kubah, Kuching, Taman Negara Gunung Gading, Lundu, Taman Negara Batang Ai, Lubok Antu, Taman Negara Tanjung Datu, Lundu, Taman Negara Santubong, Kuching, Taman Negara Talang Satang, Kuching, Taman Negara Tanah Lembap, Kuching, Taman Negara Similajau, Bintulu dan Taman Negara Bukit Kana, Bintulu.

Selain itu, Taman Negara Niah, Miri, Taman Negara Bukit Lambir, Miri, Taman Negara Gunung Mulu, Miri, Taman Negara Terumbu Karang Miri, Miri, Pusat Hidupan Liar Matang, Kuching, Pusat Hidupan Liar Semenggo, Kuching, Rizab Semula Jadi Gua Angin, Bau, Rizab Semula Jadi, Bau, Rizab Semula Jadi Sama Jaya, Kuching, Rizab Semula Jadi Bukit Sembiling, Limbang, Rizab Semula Jadi Bukit Hitam, Limbang, Rizab Semula Jadi Piasau, Miri dan Rizab Semula Jadi Bukit Lima, Sibu.

Abdul Karim berkata, Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi di Sarawak terus menjadi destinasi yang digemari bagi pelawat domestik dan luar negara.

Katanya, sehingga Oktober lalu sejumlah 426,925 pelawat telah mengunjungi 25 taman negara dan rizab semula jadi yang dibuka kepada pelawat dan dikunjungi seramai 319,931 pelawat domestik dan 106,994 pelawat asing.

“Ini menunjukkan peningkatan 34 peratus jumlah pelawat mengunjungi taman negara untuk suku ketiga 2023,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, sebanyak sembilan taman negara dan rizab semula jadi telah dinaik taraf dengan perhubungan Wifi bagi meningkatkan pengalaman pelawat, iaitu Taman Negara Bako, Kubah, Gunung Gading, Tanjung Datu, Similajau, Niah, Bukit Lambir serta Pusat Hidupan Liar Matang dan Semenggoh.



Copyright © 2021 Sarawak Museum Department
Last Updated On 20 Dec 2024

Operating Hours (Main Office)

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45pm & 2.00pm to 5.00pm

Saturday, Sunday, Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement