Bengkel Penyelidikan Papan Turai Gawai Batu di Dewan Masyarakat Beluru, Miri.
2-3 Disember 2023-
Jabatan Muzium Sarawak telah mengadakan Bengkel Penyelidikan Papan Turai Gawai Batu di Dewan Masyarakat Beluru, Miri. Seramai 42 peserta terdiri daripada Penghulu, Pemancha, dan Ketua-ketua kaum di Daerah Miri, Beluru, Marudi dan Subis.
Bengkel ini bertujuan untuk mengkaji potensi koleksi Papan Turai Gawai Batu Jabatan Muzium Sarawak di peringkat antarabangsa. Papan Turai ini kini dipamerkan di Borneo Cultures Museum Kuching untuk tatapan orang awam. Papan ini adalah dua keping papan mnemonik yang mengandungi 25 karakter bergambar berkaitan perayaan purba Dayak Laut (Iban) di Borneo. Lemambang menggunakan Papan Turai untuk mengingat dan menghafal mantera Timang dalam upacara Gawai. Oleh itu, Papan Turai ini mempunyai kepentingan yang sangat signifikan kepada dunia kerana menerangkan kepentingan sistem kepercayaan dan sejarah panjang dalam budaya manusia, terutamanya kehidupan agraria di pulau Borneo, telah berkembang.
Bengkel ini telah dilaksanakan dengan kerjasama penyelidik iaitu Prof. Dr Noria Ak Tugang, Prof. Madya Dr Norazuna Bt Norahim (Universiti Malaysia Sarawak), Dr Peter Mulok Kedit (Yayasan Tun Jugah) dan Dr Gregory Ak Kiyai (CITI University Malaysia).