Helios: (The Sun) 'Terangi' BCM, Tarikan Baharu Pertama Di Asia

Posted on 08 Dec 2025
Source of News: ukas.sarawak.gov.my
Helios: (The Sun) 'Terangi' BCM, Tarikan Baharu Pertama Di Asia



KUCHING: Helios: (The Sun) daripada artis British, Luke Jerram menerangi Muzium Budaya Borneo (BCM) yang menjadi tarikan baharu di muzium tersebut dengan karya seni tersebut pertama kali muncul di benua Asia.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Pameran Helios menampilkan sebuah arca sfera gergasi yang diterangi dari dalam dan dilitupi imejan suria beresolusi tinggi, menawarkan pengalaman pameran yang realistik dan mengasyikkan kepada para pengunjung.

Menurutnya, orang ramai boleh melihat pameran sementara terbaharu Jabatan Muzium Sarawak (SMD) yang akan berlangsung selama lapan (8) bulan bermula 17 November 2025 hingga 17 Julai tahun hadapan.

"Helios dibawa ke Sarawak bagi memperdalam penghargaan, minat serta pemahaman masyarakat terhadap sains, seni, dan peranan penting Matahari dalam menyokong kehidupan di Bumi.

"Saya berharap pameran ini akan menginspirasikan para pengunjung untuk meneroka dunia astronomi, memupuk kesedaran alam sekitar, serta menghargai hubungan mendalam antara sains, kreativiti dan sifat ingin tahu manusia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran pameran tersebut di BCM pada Sabtu.

Dato Sri Abdul Karim menambah, Helios bukan sekadar sebuah karya seni tetapi ia merupakan satu pengalaman imersif yang disertai gubahan bunyi sekeliling khas, menampilkan rakaman suria, bunyi persekitaran, serta muzik ambien yang membangkitkan semangat.

Jelasnya, para pengunjung akan dibawa ke dalam ruang meditatif yang meraikan peranan Matahari dalam membentuk iklim, musim, budaya dan sudah tentu, kesejahteraan bersama.

Justeru katanya, pameran Helios ini secara jelas mencerminkan komitmen Sarawak dalam memajukan negeri selaras dengan Pelan Induk Pelancongan Sarawak 2021–2035.

"Pameran bertaraf dunia seperti ini terus mengangkat Sarawak sebagai destinasi acara perniagaan dan merancakkan pelancongan melalui pengalaman yang bermakna," tegasnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Ahli Dewan Negara Dato Ahmad Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datu Sherrina Husaini serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS

Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Ahmad Daniel Faiz


Copyright © 2021 Sarawak Museum Department
Last Updated On 08 Dec 2025

Operating Hours (Main Office)

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45pm & 2.00pm to 5.00pm

Saturday, Sunday, Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement