Topik Popular
Pautan

Kerajaan Sarawak Kerajaan Malaysia
Kemaskini Pada: 18 Nov 2017
Versi 8.0.2c
Jumlah Pelawat
450398
<<November, 2017>>
SMTWTFS
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
2627282930 


Tiada Acara pada masa ini

Bakul dan AnyamanBakul dan Anyaman

 

Bakul dan Anyaman

Sarawak adalah negeri yang kaya dengan sumber semulajadi. Penduduk aslinya menyara hidup dengan memanfaatkan hasil bumi yang ada di persekitaran tempat mereka tinggal. Aktiviti-aktiviti harian mereka adalah bercucuk tanam, memburu, memancing dan mengumpul hasil-hasil hutan yang sedia untuk dimanfaatkan bagi kegunaan mereka. Bahan-bahan untuk anyaman boleh didapati dengan mudah seperti rotan, buluh, daun nipah, mengkuang dan buluh bemban. Bahan-bahan ini telah diubah menjadi barang-barang yang amat berguna seperti bakul, terendak dan tikar. Sebahagian daripada barang-barang ini memiliki fungsi yang khas dan tersendiri dalam upacara-upacara keagamaan.

Bakul adalah bekas yang sering digunakan untuk membawa dan meletakkan barang. Apa yang menarik adalah setiap bakul yang dibuat mempunyai fungsi-fungsi yang tertentu. Ada bakul yang disediakan khas untuk bercucuk tanam, menuai, menyimpan dan membanting padi termasuklah bakul khas untuk mengumpul buluh dan paku-pakis, untuk memancing dan menyimpan barangan peribadi. Seperti mana bakul yang mempunyai pelbagai fungsi, topi juga mempunyai peranan yang berbeza-beza. Ada terendak dibuat khas untuk melindungi diri daripada panas dan hujan. Tikar bukan sahaja dimanfaatkan untuk berehat dan tidur tetapi juga digunakan untuk menjemur padi, membanting padi dan digunakan secara meluas di pesta-pesta menuai serta upacara keagamaan.  

Menganyam bakul bukan sahaja sekadar untuk kegunaan harian. Menurut masyarakat Iban, kemahiran menganyam bakul yang cantik akan menaikkan taraf seseorang wanita itu di dalam masyarakatnya. Adat ini diperkayakan lagi oleh kehadiran pelbagai kumpulan etnik di Sarawak. Bakul dan hasil anyaman setiap kumpulan etnik memiliki corak khas dan menggunakan teknik tersendiri.

Orang Penan amat terkenal dalam menghasilkan tikar rotan yang digunakan untuk tidur/baring dan bakul yang amat halus buatanya. Tikar dan buluh tersebut dianyam dengan teliti dan dihiasi dengan warna coklat kekuningan dan coklat gelap atau hitam dan digubah menjadi corak burung enggang, labah-labah dan motif bunga. Bakul yang paling terkenal dipanggil ajat, diperbuat daripada rotan yang halus berbentuk silinder dan dipasangkan dengan dua tali pengikat untuk disangkut pada kedua-dua bahu.

Bakul ingan, berbentuk silinder yang disokong dengan empat kayu yang tertacak pada setiap tepinya sebagai kaki. Bahagian atasnya sedikit terbuka dan diperbuat daripada rotan yang lebar, digunakan untuk membawa barang atau sebagai bekas penyimpanan. Bakul ini dikaitkan khas dengan orang Kayan yang sering menggunakannya. Bakul jenis ini digunakan untuk membawa barang dalam perjalanan jauh, menyimpan padi dan barangan peribadi di rumah panjang. 

Orang Bidayuh membuat pelbagai jenis bakul yang berbagai-bagai saiz. Yang paling popular ialah tambok. Seperti ingan orang kayan, ia berbentuk silinder dan disokong dengan empat kayu. Orang Bidayuh membawa hasil yang diperolehi dari hutan dengan menggunakan bakul ini di bahu dan tali lebar disangkutkan pada dahi mereka. Tidak seperti masyarakat etnik yang lain, orang Bidayuh mengayam bakul mereka dengan rotan yang disusun menegak dan melintang.

Chantong adalah bakul lain yang juga dihasilkan oleh orang Bidayuh. Ia dianyam dengan begitu halus dan ditambah dengan kulit dan ditutup seperti bakul dram. Bentuknya seperti ingan orang Kayan dan ianya digunakan untuk menyimpan barangan peribadi. Dahulu, semasa aktiviti memburu kepala dijalankan, kepala-kepala yang diperolehi disimpan di dalam bakul ini dan digantung di anjung rumah.

Orang Melanau yang menduduki persisiran pantai menghasilkan pelbagai jenis bakul dari yang berpenutup bulat yang dikenali sebagai bakul rejang sehinggalah dompet, tas tangan moden dengan kombinasi tradisional berwarna semulajadi, hitam dan merah. Bakul-bakul ini dihasilkan daripada rotan atau bemban. Masyarakat etnik ini juga amat dikenali dengan topi tradisionalnya iaitu terendak. Ianya besar dan berbentuk kon, selalunya dibuat daripada daun nipah dan dihiasi dengan buluh dan nipah bermula dari bahagian tengah atas dan berwarna hitam dan merah. Tali rotan dijahit di sekeliling topi tersebut untuk mengukuhkannya.

Antara bakul terkenal yang dihasilkan oleh orang Iban adalah bakul raga. Saiz bakul ini kecil, lebih kurang 10 inci tinggi dengan lengkungan kayu lembut pada atasnya dan bersegi empat di bahagian bawahnya tanpa kayu sebagai penyokong. Ia dianyam dengan begitu halus dan sering dihiasi dengan simbol-simbol yang menggambarkan upacara penuaian padi. Bakul-bakul ini sering disangkut pada bahu dan diikat pada pinggang untuk menyenangkan si pemakai dalam kerja-kerja penanaman padi.

Masyarakat Kelabit menghasilkan pelbagai jenis bakul untuk membawa dan menyimpan padi. Saiznya besar dan berbentuk silinder dan seakan-akan kon serta disokong dengan kayu yang tertacak di bahagian tepinya. Pada kebiasaannya, ia dicorakkan dengan lengkungan menegak yang berkait rapat dengan percambahan padi.